PETALING JAYA: Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang disifatkan sebagai talam dua muka apabila kini menyatakan ia memerlukan sokongan bukan Islam dan bumiputera untuk menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Sedangkan sebelum ini beliau telah mengguris perasaan orang bukan Islam apabila menuduh majoriti golongan tersebut paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara.
Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata menyedari terlalu ramai tampil mengkritik, Pas tampil pula dengan fakta baharu bahawa yang dituduh itu bukanlah golongan bukan bumiputera sebaliknya hanya menyerang Pakatan Harpaan (PH).
“Baru-baru ketika Muktamar Pas juga, Abdul Hadi ada menyebut kini parti itu memerlukan sokongan bukan Islam, bukan Melayu untuk menang di beberapa kerusi pada PRU-15.
“Nampak tidak betapa pemimpin dalam parti bertunjangkan Islam ini begitu pentingkan agenda untuk berkuasa sahaja?” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ramanan berkata mula-mula mereka hina yang bukan Islam konon majoritinya melakukan rasuah dan perbuatan merosakkan ekonomi.
“Kemudian kamu sedar pula pilihan raya begitu dekat, anda perlukan pula sokongan yang bukan Islam,” ujarnya.
Tambahnya, jurucakap PAS Dr Mohd Zuhdi Marsuki asyik mendakwa PH mainkan sentimen perkauman sedangkan Abdul Hadi bercakap tentang menghapuskan golongan pemberi rasuah dan PH terasa bahangnya.
“Kelakar bukan? Yang terpalit dengan macam-macam skandal pada masa ini bukan PH tetapi pimpinan yang PAS sokong.
“Skandal penyewelengan berbilion ringgit duit rakyat yang bukan sahaja mendapat perhatian rakyat negara ini malah dunia termasuk kes-kes rasuah seperti 1MDB dan LCS,” katanya.
Namun beliau mempersoalkan mengapa pula didakwa PH yang terasa bahang dan siapa yang cuba Pas perbodohkan?
Jelas beliau Pas pada hari ini disbandingkan dengan Pas yang diterajui oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah tidak sama sekali.
“Keperibadian Allahyarham sehingga ke saat ini masih melekat di sanubari rakyat Kelantan.
“Allahyarham bukan hanya seorang tokoh politik yang mentadbir sebuah negeri yang sinonim dengan jolokan Serambi Mekah sebaliknya, jauh lebih utama, Nik Aziz di mata rakyat adalah seorang bapa yang tidak pernah jemu mengajar anak-anaknya makna kemanusiaan,” katanya.